Selamat Tahun Baru 2017 dari Tim Wariscan!

 

Kira-kira setahun yang lalu, pada bulan Disember 2015, kami memulakan kerja-kerja untuk mendigitasi 50 lukisan kepunyaan Universiti Malaya. Kami mulakan dengan apa yang ada, tanpa seorang kakitangan kecuali aku dan Muhammad Zaki Kamaruddin, terlibat secara langsung mengangkat, menyusun, mengimbas dan merekodkan 50 lukisan – menggeletar tangan aku kerana ada yang bernilai RM 16 juta sebuah!

Tahun lepas – pada Jun 2016, kami memulakan sebuah projek yang jauh lebih besar skalanya – melibatkan ribuan blueprints kepunyaan UM, yang perlu direkodkan untuk memastikan segala maklumat berkaitan semua bangunan milik UM direkodkan, kerana kertas yang merekodkannya semakin hari semakin rosak – dan juga semakin banyak! Kan senang kalau semua maklumat dalam kertas-kertas itu ada di dalam sebuah pangkalan data, cari je ‘Dewan Tunku Canselor’ kau akan dapat maklumat struktur bangunan, pelan tapak, pelan pandangan, butiran-butiran lain yang hanya akan diperoleh daripada kertas-kertas blueprints yang berbeza!

Dalam masa 6 bulan – kami berjaya merekodkan lebih kurang 2000 helai blueprints – merupakan permulaan untuk membawakan keupayaan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tersebut di hujung jari.

Tim produksi di belakang projek pengimbasan Universiti Malaya

Kami membayangkan kerja-kerja yang serupa perlu dibuat untuk kesemua manuskrip sejarah, lakaran-lakaran, dokumen-dokumen lama termasuk juga lukisan, tekstil dan artifak lain yang belum tentu dapat bertahan untuk anak cucu kita. Dengan merekod dan memberikan akses ini kepada generasi akan datang, kami nak mereka mempelajari dan mengekalkan sejarah, budaya dan jati diri sendiri – selain mencetak 3D (ataupun digunakan dalam realiti maya) artifak yang sebelum ini disimpan kemas dan rapi, untuk kegunaan pembelajaran!

Tahun 2017 ini kami ingin bergerak lebih pantas, mempelajari lebih banyak dan lebih cepat daripada kesilapan, untuk memastikan semua aktiviti ini boleh dibuat secara ‘sustainable’. Paling penting, kami nak lihat samaada apa yang kami mimpikan ini disambut baik lebih ramai pemegang-pemegang amanah khazanah warisan negara, sebelum membuat keputusan menukar haluan kepada yang lebih strategik (‘pivot’).

Kalau kau rasa ini penting – dan/atau ada idea bagaimana untuk kita bersama berikan yang terbaik, hubungi aku terus di hilman@wariscan.com (atau di FB, insta di mana yang kau selesa). Teruskan memberi sokongan kepada kami, dan selamat tahun baru!