fbpx

 

Pada 19 September yang lalu, Wariscan telah dijemput oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan bengkel Augmented Reality (AR) di ibupejabat SKMM, Cyberjaya. Bengkel AR ini merupakan sebahagian dari usaha SKMM untuk memupuk kesedaran dan minat masyarakat umum kepada sains dan teknologi menerusi inisiatif Digital Lifestyle Malaysia (DLM) dan MyMaker.

Bengkel ini berlangsung di makmal IOT MyMaker dan menerima penyertaan seramai 15 orang yang terdiri dari pelajar sekolah menengah dan juga universiti. Bengkel bermula seawal jam 9 pagi dengan penyampaian modul 1 iaitu pengenalan kepada Augmented Reality. Di sini, para pelajar diberikan penerangan berkenaan dengan konsep Augmented Reality, penggunaan AR di dalam kehidupan seharian, dan juga potensi serta peluang kerjaya di masa akan datang.

Sebelum berlangsungnya modul 2, para peserta dibawa ke kafe SKMM untuk menjamu sarapan yang telah disediakan oleh pihak SKMM. Di dalam modul 2, para peserta diajar secara hands-on kemahiran dan cara menghasilkan Augmented Reality mereka sendiri sambil dibantu beberapa fasilitator.

Modul ketiga dan terakhir adalah berkaitan budaya dan warisan negara yang menjadi matlamat utama Wariscan. Para peserta diajar berkenaan wau, salah satu warisan dan budaya negara ini. Para peserta kemudiannya di uji melalui aktiviti berkonsepkan AR dan juga kuiz Kahoot!.

Bengkel ini tamat pada pukul 1 tengahari dengan sesi penyampaian sijil. Juadah makan tengahari sekali lagi turut disediakan pihak SKMM kepada para peserta. Akhir kata dari kami, diharapkan para peserta berpuas hati dengan bengkel yang dijalankan dan semoga ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat di masa hadapan.