Pada 1 April yang lalu, Team Wariscan telah berkerjasama dengan Shah Alam Creative Hub (SACH) telah mengadakan pameran di acara SAY Ignite 2017 yang bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre. Acara yang berlangsung pada hari Sabtu, 1 April 2017 itu telah disertai oleh peserta-peserta dari latarbelakang yang berbeza seperti agensi-agensi kerajaan, GLC, hartanah, perbankan, fesyen, produk halal, kesenian, teknologi, serta makanan dan minuman.

Program SAY Ignite 2017 ini diadakan hasil dari ilham dan visi DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bagi menjadikan komuniti belia di Selangor lebih aktif dan dinamik. SAY Komuniti bertujuan untuk menjadi sebuah platform bagi komuniti belia di Selangor untuk berhubung serta memperoleh pelbagai peluang.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bergambar bersama ahli SACH

Program yang berlangsung selama satu hari itu dimulakan dengan sesi forum Selangor Youth Speaks yang bermula pada jam 10 pagi bertempat di Pentas Utama. Selain acara di pentas utama, terdapat juga beberapa acara yang dibahagikan mengikut zon bagi memeriahkan lagi program ini. Diantara aktiviti serta pameran yang berlangsung adalah pameran karya-karya seni dari Shah Alam Creative Hub, bacaan puisi, tarian moden, persembahan muzik tradisional, persembahan silap mata, serta persembahan busking. Dibahagian laluan utama pula dipenuhi gerai-gerai serta kiosk jual beli barangan seperti pakaian, busana, produk halal, dan juga makanan.

Pengasas Wariscan, En. Hilman Nordin menerangkan aplikasi AR Pua Kumbu kepada baginda DYTM Raja Muda Selangor

DYTM Raja Muda Selangor mencuba peralatan VR sambil diperhatikan Pengasas Wariscan, En. Hilman Nordin (Kanan)

Kira-kira pada jam 3 petang, DYTM Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli melawat pameran-pameran yang diadakan. Setibanya baginda ke reruai Wariscan, baginda diberikan sedikit sebanyak penerangan berkenaan objektif dan matlamat Wariscan serta diberi kesempatan untuk mencuba applikasi AR ke atas Pua Kumbu serta menggunakan VR untuk melihat dengan lebih dekat proses digitasi yang dilakukan oleh Wariscan.

Antara pameran yang terdapat di reruai Wariscan, Hologram Box

Pameran ini berakhir kira-kira jam 8 malam. Program seumpama ini dilihat dapat dijadikan platform bagi komuniti belia tidak kira golongan seni mahupun teknologi agar dapat bertemu serta berkerjasama dalam menaikkan taraf golongan belia di Selangor.