Pada 22 Mac 2017, bertempat di ibu pejabat Digital Artisan Resources Sdn Bhd (DARSB), Universiti Malaya, pihak DARSB telah menganjurkan kelas “Augmented Reality (AR): Fun with Cultural Heritage” bersempena cuti sekolah yang berlangsung selama seminggu. Program ini bertujuan bagi mengisi masa lapang cuti sekolah anak-anak dengan aktiviti bermanfaat dengan menawarkan pakej pembelajaran mengenai teknologi Augmented Reality (AR) disamping menghayati warisan seni negara.

Sesi pembelajaran semasa aktiviti

Daripada program ini, peserta dapat mempelajari teknik-teknik asas dalam penghasilan AR. Peserta juga dapat menghayati warisan negara dengan pembelajaran yang lebih interaktif. Program ini terbuka kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun sahaja.
Program bermula pada jam 9 pagi dengan sesi pengenalan dan ice breaking. Disini para peserta diberi kesempatan untuk bersuai kenal sesama mereka terlebih dahulu sebelum kelas sebenar dimulakan. Setelah selesai sesi suai kenal dan ice-breaking, barulah kelas sebenar dimulakan.

Tenaga pengajar dan fasilitator membantu para peserta melakukan aktiviti AR

Kelas AR ini dibahagikan kepada 3 sesi, dimana sesi pertama memberikan penerangan berkenaan seni warisan (Wau) yang menjadi tema kepada kelas AR ini, dan juga teknik-teknik asas penghasilan AR. Para peserta diberikan masa untuk menghasilkan AR mengikut tunjuk ajar guru serta dibantu oleh para fasilitator. Pada peringkat pertama ini, para peserta berjaya menghasilkan imej AR Wau dari kad yang telah disediakan oleh pihak DARSB.

CEO DARSB, En. Hilman Nordin menunjukkan contoh AR (Pua Kumbu)

Semasa sesi kedua pula, para peserta diajar cara-cara menghasilkan butiran butiran yang lebih terperinci dari imej wau yang terhasil seperti indikator-indikator yang menunjukkan bahagian tubuh badan wau. Pada sesi yang terakhir pula, para peserta sudah mampu menghasilkan video di dalam projek AR mereka setelah diajar oleh tenaga pengajar dari DARSB.

Para peserta bergambar bersama tenaga pengajar (Cikgu Nasuha dan Cikgu Izzati)

Diakhir sesi pembelajaran, para peserta diminta untuk melakukan sedikit pembentangan hasil daripada projek AR yang telah disiapkan. Peserta juga diberikan sedikit kata-kata semangat serta motivasi dari CEO Digital Artisan Resources Sdn Bhd, En. Hilman Nordin. Aktiviti “AR: Fun with Cultural Heritage” telah berlangsung dengan jayanya. Para peserta dibekalkan makan tengah hari sebelum bersurai.