YUSUF GAJAH Catch (2013)

Mohd Yusof Ismail ataupun lebih mesra dikenali sebagai Yusof Gajah merupakan seorang pelukis “Naive Art” terkemuka negara serta pengarang dan illustrator buku kanak-kanak. Yusof terkenal dengan karekter-karekter  gajah yang menjadi ikonik di dalam setiap lukisan beliau. Nama Yusof Gajah pada mulanya diberikan oleh teman-teman beliau untuk membezakan beliau dengan  seorang lagi pelukis negara iaitu Yusof Osman. Namun, oleh kerana beliau merasakan nama itu seakan-akan selari dengan imej teras yang dipamerkan didalam setiap lukisan beliau iaitu gajah, beliau memilih untuk terus menggunakan nama tersebut.

Semasa kecil beliau meminati subjek biologi serta alam semulajadi dan sering menconteng buku  latihan sekolah beliau. Beliau menerima pendedahan awal ketika beliau bersekolah di Singapura. Di sana, beliau didedahkan dengan pelbagai jenis medium serta gaya lukisan yang berbeza dari lukisan cat minyak hinggalah lukisan diatas kain sutera, dari Picasso hinggalah ke Yong Mun Seng. Beliau kemudiannya dihantar oleh ibubapanya ke Indonesia untuk melanjutkan pelajaran didalam bidang pertanian. Namun begitu, naluri serta impian beliau untuk menjadi pelukis tersohor mendorong beliau untuk menukar pengajian ke bidang seni halus.

YUSUF GAJAH Red Tree and Elephant (2011)

Visi beliau yang jelas membolehkan beliau untuk membuka jalan kehidupan. Pada usia dua puluhan, beliau memberi tumpuan kepada penjenamaan. Pada usia empat puluhan, beliau menjadi seorang yang bertanggjawab menanggung keluarga. Kemudiannya, beliau memperoleh kejayaan menerusi studio seni beliau pada usia lima puluhan. Kini beliau memiliki serta mengusahakan sendiri galeri beliau yang dinamakan Gajah Gajah Gallery. Yusof Gajah sentiasa mengingati nasihat yang diberikan oleh mentornya, Allahyarham Pak Widayat, “Lukisan tempatnya haruslah di atas dinding”, bermakna akan sentiasa ada pasaran untuk seni.

Banyak kejayaan yang telah beliau perolehi, namun beliau masih gigih untuk bergiat aktif didalam bidang seni. Saat yang paling membanggakan beliau adalah ketika diberi penghormatan untuk berucap dihadapan lebih 50 duta dari seluruh dunia apabila memenangi anugerah atas lakaran buku kanak-kanak beliau. Di antara buku kanak-kanak yang dihasilkan oleh beliau adalah Sibayang Baying, Kena Supah Katak, Tiga Ekor Gajah, Sebuah Taman Permainan, Si Cantik, Kawan Bahru, Si Meot, Gajah Sejati, Elephabet, Mother and Child, Let Build A House, Elephant Teapot, Where Is My Red Ball, At The Foot Of The Hill, Hendak Kemana Pergi Anak Biawak, Elephabet Activity Book, dan Elephabet Flash Card.

YUSUF GAJAH Untitled

Beliau juga aktif dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat. Beliau telah mendermakan peratusan jualan lukisan kepada badan amal, sumbangan untuk menambahbaik perpustakaan sekolah, serta membantu pesakit kanser pediatrik. Beliau juga mengumpulkan bakat muda untuk menjadi mentor serta membimbing mereka. Kini, beliau mempunyai 15 pelukis baru dibawah sayapnya yang bergiat aktif di galeri milik beliau. Karya mereka juga dipamerkan dan dijual di galeri ini. Beliau telah menjalankan pelbagai projek seni dengan syarikat-syarikat tempatan dan multinasional seperti Shell, Malaysia Airlines, dan KL Monorel.

sumber: Negaraku