sumber: BeritaHarian

Di negara-negara membangun, muzium sering disalahtafsirkan sebagai sebuah tempat penyimpanan barang-barang lama. Lebih teruk apabila muzium dikaitkan sebagai tempat penyimpanan artifak-artifak berunsur berhala serta pemujaan zaman dahulu kala. Tafsiran negatif ini sedikit sebanyak menghalang perkembangan muzium sebagai sebuah institusi ilmu di kebanyakkan negara termasuk Malaysia.

Dalam masyarakat moden, ianya perlu dan mustahak untuk muzium mentakrifkan semula misi, matlamat, fungsi, serta strategi mereka supaya tidak ketinggalan dek arus semasa. Muzium hari ini perlu menjadi ejen perubahan dan pembangunan, mereka mesti menjadi cermin peristiwa dalam masyarakat dan juga instrumen dalam mencapai kemajuan. Mereka mesti menjadi institusi yang mampu menyemai keamanan, menggalakkan cita-cita demokrasi dan ketelusan urus-tadbir, dan menjadi sebahagian dari sesebuah masyarakat itu sendiri.

Sebagai institusi yang kritikal kepada masyarakat, muzium boleh menggalakkan, mempromosi dan memupuk cita-cita terbaik sesebuah bangsa dan negara. Tanpa politik, mereka boleh memberi suara kepada rakyat dalam perkara yang berkaitan disamping mewujudkan ruang untuk perbincangan dan dialog secara percuma. Mereka boleh mengadakan pertemuan di mana peristiwa-peristiwa bersejarah pada hari ini dipamerkan dan dibincangkan untuk kebaikan bersama. Muzium juga haruslah peka terhadapa kumpulan sasaran seperti guru, belia, pertubuhan-pertubuhan tertentu melalui perbincangan forum yang dapat menyumbang kepada matlamat negara disamping memberi lebih pemahaman warisan yang dapat membantu pertumbuhan agenda dan pembangunan negara secara am.

Muzium dan pendidikan

sumber: www.asiaexplorers.com

Pendidikan adalah penting untuk pembangunan negara. Pendidikan yang tidak mempunyai aspek budaya dan masyarakat adalah kosong dan tidak lengkap. Salah satu objektif asas muzium ini adalah untuk mendidik masyarakat, dan muzium mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk memberikan pendidikan budaya secara berkesan kerana ianya menyimpan alat dan bahan untuk berbuat sedemikian dalam koleksinya. Dalam masyarakat moden, muzium memperkayakan proses pendidikan dengan mendedahkan kepada orang ramai berkenaan sejarah mereka dengan  membantu generasi akan datang memahami dan menghargai sejarah dan budaya serta berbangga dengan pencapaian nenek moyang terdahulu.

Kita tidak boleh lagi terus mengabaikan peranan golongan muda di alaf baru ini. Mereka mampu dan perlu memainkan peranan dalam masyarakat kerana mereka juga adalah sebahagian darinya. Anak-anak kita perlu diberi suara  dalam muzium menerusi program-program khas. Program pendidikan dan budaya harus dibangunkan untuk mereka dan mereka harus dibenarkan untuk terlibat dalam membincangkan program-program yang melibatkan mereka kerana mereka mempunyai idea-idea yang mampu meningkatkan program itu jika diberi peluang untuk bersuara. Sudah terlalu lama kita mengabaikan generasi muda dan terlalu lama kita meletakkan mereka dibawah telunjuk generasi tua dalam setiap aktiviti.

Oleh kerana pendidika merupakan aspek penting dalam sesebuah negara, ia perlu julas difahami bahawa muzium adalah institusi yang dipenuhi proses pembelajaran dan harus sepenuhnya bersepadu di dalam sistem pendidikan negara.

Muzium dan Perpaduan

sumber: tanyonghui.weebly.com

Untuk sesebuah masyarakat hidup aman dan harmoni, perpaduan antara kaum dan setiap komponen masyarakat adalah wajib. Muzium menggalakkan perpaduan masyarakat dengan menggunakan sumber-sumber mereka untuk memastikan pemahaman dan penghargaan untuk pelbagai kumpulan etnik yang wujud dalam masyarakat itu. Perpaduan adalah penting dalam keharmonian dan kesejahteraan keluarga, masyarakat, negara, bahkan di peringkat antarabangsa sekalipun. Konflik-konflik yang melanda dunia hari ini adalah berpunca dari kurang pemahaman diantara budaya dan bangsa. Resolusi konflik dan perdamaian menjadi unsur penting untuk mencapai keamanan yang mampan serta perpaduan yang utuh.

Dari sudut perspektif yang lebih luas, muzium boleh menggalakkan diplomasi budaya yang akan melahirkan persefahaman yang lebih baik antara rakyat dan negara. Ianya juga dapat mewujudkan satu rasa bangga dan tujuan di kalangan rakyat yang akan menghargai hakikat bahawa mereka juga mempunyai sumbangan untuk menggalakkan keamanan dan perpaduan.