Pada 16 dan 17 September yang lalu Wariscan telah dijemput untuk turut bersama menjayakan karnival #MyDigitalMaker Fair ’17 anjuran Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) yang berlangsung di Hall 6, KLCC.

MyDigitalMaker merupakan satu inisiatif MDEC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi melahirkan generasi pencipta digital di kalangan golongan belia Malaysia.

Menerusi program ini, generasi muda negara akan didedahkan kepada dunia digital dan teknologi terkini dari peringkat awal bagi memupuk kreativiti serta daya inovasi dalam diri mereka seterusnya melahirkan generasi berkemahiran tinggi dalam memacu Malaysia ke era ekonomi digital.

Para pengunjung sedang melihat demo Augmented Reality

Program ini selari dengan matlamat Wariscan iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan, mengenali budaya, dan mengukuhkan patriotisme melalui medium penggunaan sains dan teknologi.

Mencari klu menggunakan Augmented Reality

Reruai Wariscan mengadakan aktiviti kuiz mengenai wau berkonsepkan Augmented Reality (AR) Card. Para pengunjung perlu menjawab 15 soalan tentang wau-wau yang terdapat di Malaysia dengan mencari klu yang tersimpan di dalam AR Card tersebut. Melalui aktiviti ini, para pengunjung didedahkan dengan konsep Augmented Reality.

Selamat Hari Malaysia!

Selain itu, pengunjung juga dapat mengimbas Jalur Gemilang dari corak batik yang terdapat di reruai Wariscan yang menjadi simbolik kepada sambutan Hari Malaysia yang juga pada 16 September yang lalu.