WARISCAN

Melindungi Lukisan dari faktor persekitaran

Cat minyak yang digunakan dalam penghasilan sesebuah lukisan biasanya menggunakan minyak dari sumber tumbuhan. Minyak ini akan berinteraksi dengan oksigen dalam proses pengeringan dan membentuk permukaan yang kukuh. Jika jumlah minyak tidak mencukupi, cat akan mula mengelupas. Kebiasaannya, lukisan akan divarnis menggunakan resin semulajadi di atas permukaan lukisan untuk menjadikannya licin dan berkilat. Varnis juga berfungsi bagi membantu melindungi lukisan itu. Namun, lama-kelamaan resin semulajadi ini akan mengalami proses pengoksidaan dimana lapisan varnis ini akan menjadi sedikit kekuningan dan pudar. Cahaya UV mampu mempercepatkan proses penguningan dan keretakkan pada lukisan.

Sumber: http://www.agora-gallery.com

Oleh kerana sifat resin semulajadi yang mudah larut didalam pelarut organik, ianya boleh dikeluarkan ketika proses pembersihan. Pembersihan lukisan, selain mengeluarkan debu dan kotoran, ianya juga melibatkan penyingkiran lapisan varnis dengan pelarut yang sesuai seperti aseton, toluena, eter, atau etanol. Proses penyingkiran ini harus dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menyingkirkan sebahagian dari pigmen warna.

Kemajuan teknologi polimer terutamanya di dalam penyelidikan kimia telah menghasilkan resin sintetik di mana ianya dapat digunakan sebagai varnis yang lebih baik. Ini kerana, proses penguningan serta keretakan untuk resin sintetik adalah lebih perlahan, justeru dapat memanjangkan lagi tempoh perlindungan terhadap lukisan. “Reversibility” adalah satu aspek penting dalam proses pemuliharaan moden. Sebarang perubahan yang dilalui oleh lukisan haruslah ianya dapat dibalikkan kepada keadaan asal. Sesetengah resin sintetik mempunyai interaksi di peringkat zarah ketika proses pengeringan, dan ciri-ciri ini menyebabkan ianya tidak sesuai untuk proses pemuliharaan.