Maamor Jantan

Maamor Jantan merupakan pelukis tempatan yang terkenal dengan karya-karya yang dihasilkan menggunakan warna air. Teknik beliau yang tidak konvensional dan gaya yang luar biasa menyerlahkan lagi keunikan hasil karya beliau.

Pelukis yang berasal dari utara tanahair ini sering menggunakan latar belakang tempat asalnya seperti sawah padi, perkampungan nelayan, dan juga perahu. Di antara karya-karya beliau yang terkenal adalah Siri Bali, Siri Jogja, Siri Cakcibor (Pepatung), dan juga Siri Kampung.

MAAMOR JANTAN Siri Pemandangan Aksi Futsal (2013)

MAAMOR JANTAN Mencari Rezeki (2013)

Siri Cakcibor mencerminkan kenintiman pelukis dengan alam semulajadi dan mesej beliau tentang kepentingan memelihara alam semulajadi. Mesej yang disampaikan melalui Siri Cakcibor ini juga mengingatkan orang ramai betapa rapuhnya hidup ini dan persaan cinta terhadap alam semulajadi.

Maamor Jantan bertemu Khalil Ibrahim pada tahun 1984. Di bawah tunjuk ajar Khalil, mereka menerokai dunia seni visual bersama-sama. Beliau juga amat menghormati karya-karya dari Rafie, Pak Hossein Enas, dan Lye You Fatt. Dengan bakat semula jadi dalam penggunaan cat air, beliau telah menjadi seorang pelukis muda yang paling menyerlah pada waktu itu. Beliau telah menyertai Persatuan Warna Air Malaysia dan telah mengambil bahagian dalam lebih daripada 70 pameran. Pameran pertama beliau adalah pada tahun 1985 di Balai Seni Visual Negara.

MAAMOR JANTAN Cakcibor dan Orkid (1993)

Subjek karya-karya beliau sering menjadikan warisan semulajadi dan budaya Malaysia sebagai rujukan terutamanya pemandangan-pemandangan di desa seperti “Nostalgia Budak” dan “Di Bawah Pohon Nyiur”. Beliau merupakan seorang ekspresionis dan sering menghasilkan karya-karya yang membawa maksud spiritual. Beliau melukis tingkahlaku manusia berlatar belakangkan habitat semulajadi manusia itu sendiri dan lebih menekankan kepada perasaan berbanding butiran pada wajah. Lukisan beliau mengenai suku asli di Sarawak yang tinggal berhampiran sungai serta landskap berhampiran Gua Mulung adalah karya-karya beliau yang boleh dijadikan contoh. Beliau juga pernah melukis potret mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad, “Wajah Seorang Pejuang”.

Maamor Jantan telah menghasilkan lukisan dari pelbagai medium sepanjang karier beliau, namun beliau lebih gemar menggunakan warna air, cat minyak, dan juga akrilik. Beliau menafsirkan warna-warna alam semulajadi sebagai melambangkan cinta dan romantisme. Beliau mengekspresikan kehidupan melalui landskap, air terjun, serta kehijauan. Sebagai seorang ekspresionis, beliau menyerlahkan ungkapan tersembunyi alam semulajadi melalui perbezaan warna yang agresif. Warna air yang beliau gunakan sangat ringan sehingga menjadikan lukisan itu telus. Beliau juga menggunakan teknik ‘percikan’, dimana teknik ini memerlukan kawalan yang tinggi yang telah dikuasai beliau.

MAAMOR JANTAN Siri Serati_ Aktiviti Pagi (2013)

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Maamor Jantan juga mempunyai kumpulan muzik bernama “Keroncong Arif Lukisan”. Beliau merupakan ketua kumpulan ini menggantikan Dr. Arif. Kumpulan ini sering mengadakan persembahan di Indonesia dan peminat mereka disana juga sangat ramai.

Beliau juga sering bersama-sama dalam projek amal dimana peratusan jualan karya-karya beliau akan d diberikan kepada badan-badan amal.