Disember 2018 – Pameran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism 2018 atau lebih dikenali sebagai MAHA 2018 mempunyai kelainan apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (DVS Putrajaya) membawakan pameran lembu interaktif sebagai salah satu tarikan di reruainya. Reruai Jabatan Perkhidmatan Veterinar memang selalu menjadi tumpuan ramai kerana pada kebiasaanya, lembu sado akan dibawakan khas untuk tatapan umum. Uniknya kali ini, ada juga lembu interaktif yang menjadi tarikan baru yang turut memberikan nilai pendidikan kepada orang awam.

Lembu Interaktif sebelum dihantar ke tapak pameran MAHA 2018
Lembu Interaktif sebelum dihantar ke tapak pameran MAHA 2018

Lembu Interaktif yang dihasilkan oleh DVS Putrajaya dengan kerjasama Wariscan Sdn Bhd dan Groundzero Studios itu digunakan oleh petugas-petugas di reruai Jabatan Veterinar untuk memberikan penerangan kepada orang ramai. Antara topik yang diterangkan ialah mengenai teknologi pembiakan lembu, sistem pembiakan lembu, permanian beradas dan juga proses kehamilan lembu.

Peranti touchscreen digunakan untuk mengawal paparan yang ditunjukkan untuk Pameran Lembu Interaktif MAHA 2018
Peranti touchscreen digunakan untuk mengawal paparan yang ditunjukkan untuk Pameran Lembu Interaktif MAHA 2018

Terdapat sebuah peranti touchscreen berdekatan Lembu Interaktif yang boleh digunakan orang ramai untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai satu-satu topik. Apa yang menariknya, paparan yang terhasil di atas pemasangan pameran Lembu Interaktif tersebut bertukar mengikut topik yang dipilih. Paparan berupa organ dalaman lembu, trimester kehamilan lembu antara yang diketengahkan.

Yang paling menarik perhatian ialah kewujudan sebuah lubang di sebelah tepi pameran Lembu Interaktif – sebagai mewakili salur pembiakan lembu betina. Pengunjung boleh memasukkan tangan ke dalamnya, dan seolah-olah sedang memeriksa seekor lembu betina yang hamil. Pengunjung boleh meneka umur anak lembu yang dikandung berdasarkan penerangan dan pembelajaran yang dilalui sepanjang berinteraksi dengan Lembu Interaktif.

Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang memasukkan tangan masing-masing ke dalam salur tiruan tersebut – antaranya pengunjung VIP yang ingin merasakan sendiri pengalamannya. Ada juga di kalangan pengunjung cilik yang turut menurut untuk merasa anak lembu, dan tidak kurang juga ada yang takut untuk mencuba.

Team Jabatan Veterinar, Wariscan Sdn Bhd dan Groundzero Studios yang menjadikan Pameran Lembu Interaktif MAHA 2018 sebagai satu realiti.
Team Jabatan Veterinar, Wariscan Sdn Bhd dan Groundzero Studios yang menjadikan Pameran Lembu Interaktif MAHA 2018 sebagai satu realiti.

Pengalaman yang berbeza pada Pameran Lembu Interaktif ini ternyata suatu yang memberikan kelainan kepada reruai Jabatan Veterinar di MAHA 2018. Pembelajaran dan pengajaran mengenai satu topik yang biasanya dilakukan di lapangan dapat diterjemahkan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh para pengunjung.